Tuesday, January 20, 2009

JanjiNYA Pasti

Selamat hari Selasa kepada semua kawan-kawanku. Baru-baru ni aku terdengar kata-kata santapan buat minda untuk berfikir kat radio mana entah tak perasan pulak.

Kata Dato' Dr. Fadhilah Kamsah : “Apa yang kita lafaz itu doa, Apa yang kita fikir itu doa, Apa yang kita yakin itu doa.

So, lafazkan yang baik-baik saja. Fikirkan yang baik-baik saja, Yakinkan yang baik-baik saja. Doakan yang baik-baik saja. Okay”.

Kata-kata seorang ibu terhadap anaknya juga doa. Sebab itulah kalau anda seorang ibu, lafazkanlah yang baik-baik pada anak tu. Kalau anak nakal, jangan maki hamun anak itu. cakap saja : “hey, bertuah punya anak”, nescaya anak itu akan mendapat tuah dan keberkatan dalam hidupnya kelak.

Berdoalah kita kepada Allah selalu, sesungguhnya Allah pernah berjanji dengan firmannya yang mafhumnya: “Tuhan kamu telah berkata kepada kamu; Berdoalah kepada ku, nescaya aku akan makbulkan doa kamu” (Surah Al-ghafir, ayat 60)

Allah sendiri telah berfirman: "Dan apabila hambaKu bertanya tentang Aku, maka jawablah bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang-orang yang berdoa kepadaKu.." (Surah al-Baqarah. Ayat 186)

Dengan ayat tersebut Allah memberikan harapan yang sebesar-besarnya bahawa setiap doa yang disampaikan padaNya akan dikabulkan. Allah tidak mungkin mungkir janji, siapa yang paling tepat janjinya selain Allah?

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Tarmizi dan lbnu Majah, Rasulullah (s.a.w) pun bersabda tentang masalah doa, "Sesungguhnya Allah malu terhadap seseorang yang menadahkan tangannya berdoa meminta kebaikan kepadaNya, kemudian menolaknya dalam keadaan hampa".

Percayalah akan janji Allah kerana sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjinya. Tapi kita manusia ini yang suka mungkir janji.

Aku ni tak pandai menyembang panjang-panjang. Siapa kawan dengan aku tentu bosan pasal aku ni seorang yang pendiam. Aku tak pandai nak mulakan perbualan kalau tidak orang yang mulakan dulu. Aku cuma cakap apa yang perlu saja. Aku tak suka cakap berdegar-degar, tapi habuk pun takdak. Banyak cakap, banyak bohongnya. Banyak berbohong, banyak dosanya. Banyak dosa, masuk neraka.

Aku tak pandai nak marah-marah orang. Kalau aku marah pun aku diam saja. Selagi aku boleh sabar, aku sabar. Diam itu emas.

1 comment:

Anonymous said...

Hari-hari mesti berdoa. Kalau nak sesuatu, minta pada Allah kerana Allah itu Maha Pemurah. Semoga kita berjaya.
Oleh: Rantong